Wednesday, 1 April 2015

Study Abroad! Sarawak je pun.

Study Abroad! Sarawak je pun.



Detik-detik kehidupan kebanyakannya berlaku adalah disebabkan pilihan kita sendiri. Baju apa yang kita pakai hari ini, apa yang kita makan, dan macam-macam lagi urusan kehidupan adalah antara contoh yang berlaku di atas pilihan kita. Pilihan yang kita pilih kebanyakannya dipengaruhi oleh bagaimana cara pandang (world-view), pengalaman, pembacaan dan nasihat-nasihat orang sekeliling. Kadang-kadang ada juga episode kehidupan yang berlaku tanpa diduga dan dirancang. Apa-apa pun, dalam segenap episode kehidupan sama ada dirancang ataupun tidak dirancang, Allah telah mentakdirkan segalanya sejak azali. Imanilah dan yakinilah bahawa segalanya telah disusun oleh Allah. Allah know better the best for diri kita.



            Allah s.w.t telah menyusun dengan cantik dan rapinya bahawa ketetapan-Nya bagi insan yang kerdil ini untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Doktor Perubatan (MD) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Alhamdulillah, limpahan nikmat daripada Allah yang tidak henti-henti kepada hambaNya adalah tidak lain tidak bukan untuk insan ini mengeban amanah sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Nikmat ini juga manifestasi sebuah ujian yang penuh pahit dan manisnya. Hakikat kehidupan di dunia adalah sebuah mainan dan senda gurau, akhiratlah sepatutnya menjadi tujuan kehidupan kerana itulah saat kehidupaan yang kekal abadi. Sesungguhnya, tidak pernah terbayang dalam mimpi akan berada di bumi Sarawak dan Allah sedang merancang hikmah yang terbesar untuk mendidik (mentarbiah) diri ini.

            Ketika mengimbau saat pertama surat tawaran UPU diumumkan pada tahun 2011 yang lalu, jangkaan diri ini menepati ramalan apabila terpampang keputusan di kaca screen laptop berkenaan penawaran menyambung pelajaran di bumi Sawarak. Saya berasa tenang dan sudah bersiap sedia untuk menghadapi segala rintangan dan cubaan di masa hadapan. Itu cerita masa lalu, kini saya sudah di Sarawak. Ketika ini penulis sedang berada di Sibu, Sarawak yang sedang menjalani posting Pembedahan di Hospital Sibu, Sarawak bersama rakan posting yang ceria dan riang sekalian. Sememangnya, pahit manis telah banyak dirasai sepanjang keberadaan di bumi Sarawak ini dengan pelbagai mehnah dan karenah keadaan sekeliling dan mungkin diri sendiri.



            Sarawak adalah sebuah bumi yang subur dengan kepelbagaian bangsa dan agama di mana majoriti bangsa di sini adalah bangsa Iban yang mempunyai bahasa komunikasi yang tersendiri iaitu bahasa Iban. Saya lebih menghargai terhadap keunikan Sarawak apabila berada di bumi Sibu yang jaraknya jauh kira-kira 400 km daripada Bandaraya Kuching. Terus terang, saya lebih banyak belajar dan terdedah kepada perbualan dan cara hidup masyarakat Sarawak terutamanya Iban, Melanau, Melayu Sarawak dan lain-lain di bandar kecil ini. Pepatah inggeris ada menyebutkan “when in Rome, do as the Romans do”. Kehadiran saya di dalam masyarakat setempat dirasai sangat diraikan di mana masyarakat setempat tidak kisah untuk bertutur malah mengajar serba sedikit perbualan umum dalam bahasa iban. Setiap petang sudah menjadi rutin bagi rakan-rakan dan diri ini untuk bermain bola sepak di padang salah satu kampung yang padat dengan masyarkat melayu, iban dan melanau.



            Keputusan berani empat tahun lepas untuk menyambung pelajaran di bumi yang asing bagi insan yang kerdil ini adalah sebuah keputusan berani untuk keluar daripada  zon selesa di semenanjung. Cita-cita untuk memahami dan berinteraksi dengan kepelbagaian bangsa, bahasa dan agama selain mencuba untuk memperkasakan kemahiran berdikari di bumi orang lain. Kadang-kadang, saya sering jatuh dan bangun kembali dan kemudian jatuh lagi. Sangat menyedihkan apabila asyik jatuh sahaja walau bagaimanapun Allah s.w.t mengajarkan hambaNya untuk tidak berputus asa dengan rahmah Allah dan rahmat Allah sangat luas. Insha-Allah, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang berusaha memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik. Saya tetap bersyukur terhadap pelbagai pengalaman sama ada pahit atau manis tidak lain dan tidak bukan untuk mengajar saya menjadi insan yang penyabar, luas pemandangan, terbuka dan jangan mudah putus asa.



            Penulisan ini bukan niat untuk mengangkat bakul sendiri tetapi sebagai usaha untuk mengevaluasi diri sendiri. Mengingatkan diri yang sering lupa dan sangat mudah untuk membuat kesilapan dan salah pencaturan di bumi orang. Kesimpulannya, selagi hayat dikandung badan, akan senantiasa ada peluang untuk kembali merenung, berfikir dan memperbaiki pilihan hidup. Saya tidak akan mudah goyah dan senantiasa akan berusaha mencuba dan mengharungi cabaran dan peluang di luar sana yang sedang menanti yang mungkin bermanfaat dan boleh menjadi modal cerita untuk anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit nanti insha-Allah. Kepada mereka yang mungkin lebih kurang sama ceritanya seperti insan yang kerdil ini, yang sedang belajar dan mengembara di bumi asing, nikmati dan manfaatkan peluang berada di bumi orang lain. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneguhkan hati dan jiwa untuk mengharungi dengan tenang dan sabar.

            Akhir kata, “Once you have spent a lot of time being away, you will realize that home is where you want to be”.