Study
Abroad! Sarawak je pun.
Detik-detik kehidupan
kebanyakannya berlaku adalah disebabkan pilihan kita sendiri. Baju apa yang
kita pakai hari ini, apa yang kita makan, dan macam-macam lagi urusan kehidupan
adalah antara contoh yang berlaku di atas pilihan kita. Pilihan yang kita pilih
kebanyakannya dipengaruhi oleh bagaimana cara pandang (world-view), pengalaman,
pembacaan dan nasihat-nasihat orang sekeliling. Kadang-kadang ada juga episode
kehidupan yang berlaku tanpa diduga dan dirancang. Apa-apa pun, dalam segenap
episode kehidupan sama ada dirancang ataupun tidak dirancang, Allah telah
mentakdirkan segalanya sejak azali. Imanilah dan yakinilah bahawa segalanya
telah disusun oleh Allah. Allah know better the best for diri kita.
Allah
s.w.t telah menyusun dengan cantik dan rapinya bahawa ketetapan-Nya bagi insan
yang kerdil ini untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda dalam
bidang Doktor Perubatan (MD) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Alhamdulillah, limpahan nikmat daripada Allah yang tidak henti-henti kepada
hambaNya adalah tidak lain tidak bukan untuk insan ini mengeban amanah sebagai
khalifah di atas muka bumi ini. Nikmat ini juga manifestasi sebuah ujian yang
penuh pahit dan manisnya. Hakikat kehidupan di dunia adalah sebuah mainan dan
senda gurau, akhiratlah sepatutnya menjadi tujuan kehidupan kerana itulah saat
kehidupaan yang kekal abadi. Sesungguhnya, tidak pernah terbayang dalam mimpi
akan berada di bumi Sarawak dan Allah sedang merancang hikmah yang terbesar
untuk mendidik (mentarbiah) diri ini.
Ketika
mengimbau saat pertama surat tawaran UPU diumumkan pada tahun 2011 yang lalu,
jangkaan diri ini menepati ramalan apabila terpampang keputusan di kaca screen
laptop berkenaan penawaran menyambung pelajaran di bumi Sawarak. Saya berasa tenang
dan sudah bersiap sedia untuk menghadapi segala rintangan dan cubaan di masa
hadapan. Itu cerita masa lalu, kini saya sudah di Sarawak. Ketika ini penulis
sedang berada di Sibu, Sarawak yang sedang menjalani posting Pembedahan di
Hospital Sibu, Sarawak bersama rakan posting yang ceria dan riang sekalian.
Sememangnya, pahit manis telah banyak dirasai sepanjang keberadaan di bumi
Sarawak ini dengan pelbagai mehnah dan karenah keadaan sekeliling dan mungkin
diri sendiri.
Sarawak
adalah sebuah bumi yang subur dengan kepelbagaian bangsa dan agama di mana majoriti
bangsa di sini adalah bangsa Iban yang mempunyai bahasa komunikasi yang
tersendiri iaitu bahasa Iban. Saya lebih menghargai terhadap keunikan Sarawak apabila
berada di bumi Sibu yang jaraknya jauh kira-kira 400 km daripada Bandaraya
Kuching. Terus terang, saya lebih banyak belajar dan terdedah kepada perbualan
dan cara hidup masyarakat Sarawak terutamanya Iban, Melanau, Melayu Sarawak dan
lain-lain di bandar kecil ini. Pepatah inggeris ada menyebutkan “when in Rome,
do as the Romans do”. Kehadiran saya di dalam masyarakat setempat dirasai
sangat diraikan di mana masyarakat setempat tidak kisah untuk bertutur malah mengajar
serba sedikit perbualan umum dalam bahasa iban. Setiap petang sudah menjadi
rutin bagi rakan-rakan dan diri ini untuk bermain bola sepak di padang salah
satu kampung yang padat dengan masyarkat melayu, iban dan melanau.
Keputusan
berani empat tahun lepas untuk menyambung pelajaran di bumi yang asing bagi
insan yang kerdil ini adalah sebuah keputusan berani untuk keluar daripada zon selesa di semenanjung. Cita-cita untuk
memahami dan berinteraksi dengan kepelbagaian bangsa, bahasa dan agama selain
mencuba untuk memperkasakan kemahiran berdikari di bumi orang lain.
Kadang-kadang, saya sering jatuh dan bangun kembali dan kemudian jatuh lagi. Sangat
menyedihkan apabila asyik jatuh sahaja walau bagaimanapun Allah s.w.t
mengajarkan hambaNya untuk tidak berputus asa dengan rahmah Allah dan rahmat
Allah sangat luas. Insha-Allah, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang
berusaha memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik. Saya tetap bersyukur terhadap
pelbagai pengalaman sama ada pahit atau manis tidak lain dan tidak bukan untuk
mengajar saya menjadi insan yang penyabar, luas pemandangan, terbuka dan jangan
mudah putus asa.
Penulisan
ini bukan niat untuk mengangkat bakul sendiri tetapi sebagai usaha untuk
mengevaluasi diri sendiri. Mengingatkan diri yang sering lupa dan sangat mudah
untuk membuat kesilapan dan salah pencaturan di bumi orang. Kesimpulannya, selagi
hayat dikandung badan, akan senantiasa ada peluang untuk kembali merenung,
berfikir dan memperbaiki pilihan hidup. Saya tidak akan mudah goyah dan
senantiasa akan berusaha mencuba dan mengharungi cabaran dan peluang di luar
sana yang sedang menanti yang mungkin bermanfaat dan boleh menjadi modal cerita
untuk anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit nanti insha-Allah. Kepada mereka
yang mungkin lebih kurang sama ceritanya seperti insan yang kerdil ini, yang sedang
belajar dan mengembara di bumi asing, nikmati dan manfaatkan peluang berada di
bumi orang lain. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneguhkan
hati dan jiwa untuk mengharungi dengan tenang dan sabar.
Akhir kata, “Once you have spent a lot of time being away, you will realize that home is where you want to be”.
Akhir kata, “Once you have spent a lot of time being away, you will realize that home is where you want to be”.